Beyong Compliance Consulting Sdn. Bhd.
Registration No.:
201601038691 (1209632-V)

(Tarikh berkuat kuasa: 2 December 2025)


NOTIS PERLINDUNGAN DATA PERIBADI

PENGENALAN

1. Beyond Compliance Consulting Sdn. Bhd. (selepas ini dirujuk sebagai “BCC” atau “kami”) mengambil berat tentang perlindungan data peribadi anda.


2. Notis perlindungan data peribadi ini (“Notis”) dikeluarkan oleh BCC selaras dengan Personal Data Protection Act 2010 atau Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] (“APDP”) dan istilah-istilah “data peribadi” dan “pemprosesan” mempunyai maksud seperti yang ditetapkan di bawah APDP.


3. Notis ini dikeluarkan dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Malaysia dan menetapkan cara BCC mengumpul, memproses, mengguna dan melindungi data peribadi anda. Sekiranya terdapat sebarang percanggahan atau ketidakselarasan antara versi Bahasa Inggeris dan versi Bahasa Malaysia, versi Bahasa Inggeris akan digunapakai.


4. Dengan memberi data peribadi anda kepada BCC, berkomunikasi dengan BCC, melantik BCC untuk menyediakan perkhidmatan profesional (“Perkhidmatan”), meneruskan pelantikan kami selepas menerima Notis ini dan/atau berkomunikasi dengan kami berkaitan dengan operasi perniagaan kami, melalui apa jua cara termasuk melalui acara-acara, persidangan, seminar dan ceramah anjuran pihak kami atau sebaliknya, atau melalui penggunaan/akses laman web kami (www.bcomconsulting.com.my), anda bersetuju dan memberi kebenaran kepada BCC dan semua pihak yang terlibat dalam operasi perniagaan BCC untuk memproses data peribadi anda bagi tujuan dan mengikut kaedah yang dinyatakan di bawah.

PENGUMPULAN DATA PERIBADI

5. Apabila anda mengarahkan kami untuk bertindak bagi pihak anda, kami mungkin perlu mengumpul, merekod, menyimpan, menggunakan dan/atau memproses lanjut termasuk menyusun, merujuk, atau mendedahkan data peribadi anda.


6. Data peribadi yang dikumpul, digunakan dan diproses oleh kami termasuk segala data peribadi di mana seorang subjek data boleh dikenal pasti yang akan diberikan atau telah diberikan kepada BCC, termasuk maklumat berkaitan dengan butiran peribadi (termasuk nama, umur, jantina, nombor kad pengenalan, nombor pasport, gambar, tarikh lahir, bangsa, kewarganegaraan, kerakyatan), maklumat hubungan (seperti alamat surat-menyurat, alamat emel, nombor telefon), Pendidikan, kelayakan, butiran kemahiran dan keupayaan bahasa, butiran dan maklumat pekerjaan (seperti Sistem Insurans Pekerjaan (LINDUNG KERJAYA), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), maklumat cukai pendapatan, butiran dan sejarah pekerjaan (termasuk majikan sekarang dan terdahulu, pendapatan sekarang dan terdahulu, senarai rujukan),maklumat kewangan (seperti butiran akaun bank dan kad kredit), maklumat keluarga (seperti status perkahwinan, butiran pasangan, anak-anak dan/atau keluarga terdekat) serta apa-apa maklumat lain yang mungkin kami minta atau peroleh dari semasa ke semasa yang berkaitan dan diperlukan bagi membolehkan kami melaksanakan Perkhidmatan yang diamanahkan oleh anda (seperti maklumat berkaitan keadaan kesihatan fizikal atau mental, pandangan politik, kepercayaan agama atau kepercayaan lain yang bersifat seumpamanya, orientasi seksual, serta perbuatan atau dakwaan melakukan sebarang kesalahan).


7. Kami mengumpul data peribadi melalui beberapa kaedah yang merangkumi tetapi tidak terhad kepada kaedah-kaedah berikut:

7.1. Maklumat dan/atau dokumen yang anda bekalkan kepada pihak kami melalui apa jua cara dan/atau melalui apa jua kaedah;

7.2. Maklumat dan/atau dokumen yang diperoleh secara bebas oleh kami atau diberikan kepada kami melalui sumber sah yang lain semasa pelaksanaan operasi perniagaan dan penyediaan perkhidmatan kami, termasuk tetapi tidak terhad kepada maklumat dan/atau dokumen yang diperoleh melalui kemudahan carian dalam talian, daftar awam/pangkalan data awam (termasuk jabatan insolvensi yang berkaitan, pendaftaran tanah dan/atau agensi pelaporan kredit berdaftar), maklumat yang diperoleh daripada pihak ketiga melalui sumber sah (termasuk jabatan Kerajaan Persekutuan, Negeri atau jabatan kerajaan tempatan/pihak berkuasa berkanun atau pihak berkuasa pengawalseliaan) dan maklumat yang diperoleh melalui acara-acara yang dianjurkan oleh BCC dan/atau daripada ciri, sumber dan/atau “cookies” yang digunakan di laman web kami.

TUJUAN PEMPROSESAN DATA PERIBADI

8. Anda dengan ini bersetuju dan memberi kebenaran kepada kami untuk menggunakan dan memproses data peribadi anda bagi tujuan perniagaan kami termasuk dengan cara dan bagi tujuan seperti yang dinyatakan di bawah:

8.1. Bagi tujuan Perkhidmatan (termasuk menjalankan carian dan/atau semakan kredit);

8.2. Bagi penyediaan dokumen atau instrumen yang mungkin diperlukan untuk perlaksanaan Perkhidmatan serta apa-apa kerja sampingan lain yang berkaitan dengan Perkhidmatan, termasuk tetapi tidak terhad kepada penyediaan perjanjian, instrumen atau dokumen yang diperlukan dan yang mana anda merupakan pihak kepadanya;

8.3. Bagi keperluan operasi dalaman BCC (termasuk pengumpulan dan/atau pelaksanaan/penyempurnaan dokumen undang-undang, menjalankan carian);

8.4. Bagi keperluan pentadbiran BCC (termasuk menjalankan semakan konflik kepentingan, semakan ketekunan wajar, penyediaan bil atau invois, penyimpanan rekod);

8.5. Bagi membolehkan BCC mematuhi mana-mana undang-undang dan/atau peraturan yang berkuat kuasa pada masa kini atau pada masa hadapan termasuk garis panduan, panduan dan/atau permintaan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa yang berkaitan;

8.6. Bagi apa-apa tujuan yang dikehendaki oleh undang-undang dan/atau peraturan;

8.7. Untuk BCC menghubungi atau berkomunikasi dengan anda, termasuk untuk segala tujuan yang dinyatakan dalam perenggan 8 dan perenggan 9 di bawah; dan

8.8. Untuk sebarang tujuan lain yang insidental atau tambahan atau sebagai lanjutan kepada tujuan-tujuan di atas yang tidak dinyatakan secara khusus di sini.


9. BCC mungkin juga akan mengguna dan memproses data peribadi tersebut untuk tujuan-tujuan yang lain seperti:

9.1. Menghantar komunikasi seperti surat berita, artikel, catatan kemas kini lain, dan kad ucapan perayaan;

9.2. Mengedarkan maklumat atau jemputan ke acara, persidangan, ceramah atau seminar yang mungkin menarik minat anda; dan

9.3. Dihantar sebagai rujukan kepada (i) editor/penyelia penyelidikan dalam penerbitan dan jurnal undang-undang yang berperingkat; (ii) pelanggan berpotensi yang meminta rujukan kerja melalui permohonan untuk cadangan, tender, atau penghantaran.


10. Sekiranya anda tidak setuju atau membenarkan BCC untuk memproses data peribadi anda bagi tujuan yang dinyatakan dalam perenggan 9 di atas, sila hubungi kami secara bertulis melalui maklumat perhubungan yang dinyatakan dalam perenggan 23 di bawah. Walau bagaimanapun, sila ambil perhatian bahawa BCC boleh memproses data peribadi anda tanpa kebenaran anda jika dibenarkan di bawah APDP atau mana-mana undang-undang yang lain. Namun begitu, BCC tidak akan memproses atau mendedahkan data peribadi sensitif anda tanpa persetujuan jelas anda kecuali sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 40 APDP.

KEGAGALAN UNTUK MEMBERI DATA PERIBADI

11. Pemberian data peribadi anda kepada BCC harus dilakukan secara sukarela. Walau bagaimanapun, sekiranya anda tidak ingin memberi data peribadi anda kepada kami, BCC mungkin tidak dapat menyediakan Perkhidmatan kepada anda, dan/atau berkomunikasi dengan anda secara berkesan.

PENDEDAHAN KEPADA PIHAK KETIGA DAN PEMINDAHAN DATA PERIBADI KE LUAR MALAYSIA

12. Data peribadi anda akan disimpan dan dirahsiakan oleh BCC. Walau bagaimanapun, BCC mungkin perlu melibatkan pihak ketiga, penyedia perkhidmatan atau individu bagi melaksanakan perkhidmatan dan/atau fungsi tertentu bagi pihak BCC. Oleh kerana sesetengah penyedia perkhidmatan BCC (termasuk kemudahan penyimpanan dan pelayan teknologi maklumat BCC) mungkin berada di luar bidang kuasa Malaysia, data peribadi anda mungkin dipindahkan, disimpan, digunakan dan diproses di bidang kuasa selain Malaysia. Selanjutnya, data peribadi anda mungkin akan dipindah ke luar Malaysia untuk tujuan yang dinyatakan dalam perenggan 9.3 di atas terutamanya jika penerbitan dan jurnal undang-undang berperingkat tersebut dan/atau pelanggan berpotensi berada di luar Malaysia.


13. Anda faham dan dengan ini bersetuju serta memberi persetujuan bahawa kami boleh memberi akses, mendedahkan dan memindahkan data peribadi anda kepada pihak ketiga (sama ada di dalam atau di luar Malaysia) (yang mungkin juga memproses, mendedahkan atau memindahkan data tersebut) untuk tujuan yang dinyatakan dalam perenggan 8 di atas:

13.1. Bank dan institusi kewangan;

13.2. Penasihat luar dan penyedia perkhidmatan profesional yang dilantik oleh BCC berkaitan dengan operasi perniagaan kami dan penyediaan Perkhidmatan (termasuk juruaudit, setiausaha syarikat, peguam, penyedia insurans);

13.3. Penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan pentadbiran (termasuk penyedia perkhidmatan penghantaran, kurier dan kemudahan penyimpanan), teknologi maklumat, telekomunikasi dan perkhidmatan komputer atau lain-lain kepada kami berkaitan dengan operasi perniagaan kami dan penyediaan Perkhidmatan;

13.4. Pihak berkuasa undang-undang, pengawalseliaan, kerajaan, cukai, penguatkuasaan undang-undang, separa kerajaan atau pihak berkuasa lain di dalam atau di luar Malaysia yang mungkin memerlukan maklumat tersebut;

13.5. Menyediakan penarafan penerbitan dan jurnal yang relevan serta menilai bakal pelanggan yang mungkin memerlukan sokongan rujukan daripada kami;

13.6. Mana-mana pihak lain yang diperlukan oleh BCC bagi tujuan yang dinyatakan dalam perenggan 8 dan 9 di atas.


14. Kami juga mungkin mendedahkan dan memindahkan data peribadi anda kepada mana-mana badan berkanun, badan pengawalseliaan, pihak berkuasa tempatan dan/atau pihak berkuasa kerajaan serta bukan kerajaan apabila dan di mana diperlukan, serta kepada mana-mana individu yang diarahkan dan/atau diperintahkan oleh badan berkanun, badan pengawalseliaan, pihak berkuasa tempatan dan/atau pihak berkuasa kerajaan serta bukan kerajaan untuk mendedahkan dan memindahkan data peribadi tersebut.

LAMAN WEB

15. Laman web kami mungkin menggunakan “cookies”. Sekiranya anda tidak ingin data peribadi untuk dikumpul melalui “cookies”, sila tetapkan pelayar internet anda untuk memadam atau menyahaktifkan “cookies”. Sebarang data peribadi yang diberikan melalui penggunaan laman web kami akan digunakan dan diproses mengikut cara yang dinyatakan dalam Notis ini.


16. Laman web kami mungkin mengandungi pautan kepada laman dan halaman lain. BCC tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang data peribadi atau maklumat yang anda berikan kepada entiti lain melalui pautan tersebut.

LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN

17. Kami menyimpan semua data peribadi secara rahsia dan melaksanakan langkah-langkah serta prosedur keselamatan dan pentadbiran yang sesuai mengikut undang-undang dan peraturan yang terpakai bagi mengelakkan pemprosesan data peribadi yang tidak dibenarkan atau menyalahi undang-undang serta kehilangan, pemusnahan atau kerosakan data peribadi secara tidak sengaja.

TEMPOH PENYIMPANAN DATA PERIBADI

18. Kami akan menyimpan data peribadi anda selagi anda masih pelanggan kami untuk tempoh masa selama enam (6) hingga dua belas (12) tahun dari tarikh tamat / penamatan perkhidmatan kami (bergantung kepada jenis Perkhidmatan yang diberikan). Selepas tempoh ini, kami akan memusnahkan / memadam data peribadi anda dengan selamat dan kekal.

PERMOHONAN UNTUK AKSES DAN PEMBETULAN DATA PERIBADI SERTA PERTANYAAN LAIN

19. Anda boleh pada bila-bila masa memohon akses kepada, dan/atau membuat pembetulan kepada data peribadi anda atau mengehadkan pemprosesan data peribadi anda oleh kami (tertakluk kepada sebarang pengecualian di bawah undang-undang yang terpakai) melalui maklumat perhubungan yang dinyatakan dalam perenggan 23 di bawah. Sila ambil perhatian bahawa BCC berhak mengenakan bayaran untuk menyediakan akses kepada data peribadi anda.

KEWAJIPAN ANDA BERKENAAN DATA PERIBADI ANDA DAN/ATAU DATA PERIBADI YANG ANDA SEDIAKAN

20. Anda bertanggungjawab untuk memberikan data peribadi yang tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini kepada BCC mengenai diri anda sendiri dan data peribadi kemilikan mana-mana individu lain, Untuk memastikan ketepatan data peribadi tersebut, anda diwajibkan untuk memaklumkan BCC dengan segera sekiranya terdapat sebarang perubahan, melalui butiran hubungan yang dinyatakan dalam perenggan 23 di bawah.


21. Sekiranya anda perlu memberikan kepada kami data peribadi berkaitan pihak ketiga, seperti pasangan, anak-anak, ahli keluarga atau rakan sekerja anda, atau meminta dan/atau memberi kuasa kepada kami untuk mengumpul data peribadi tersebut berikutan atau berkaitan dengan pelaksanaan fungsi pengambilan dan/atau sumber manusia kami, anda menjamin bahawa anda telah memperoleh persetujuan mereka dan/atau diberi kuasa untuk memberikan persetujuan bagi pihak mereka (mengikut keadaan), bagi membolehkan BCC mengumpul, memproses dan menggunakan data peribadi mereka sebagaimana yang dinyatakan dalam Notis ini, serta bahawa anda telah memastikan bahawa mereka telah membaca dan/atau sedar tentang kandungan Notis ini.

PINDAAN NOTIS

22. BCC berhak untuk meminda atau mengubah Notis ini pada bila-bila masa tanpa sebarang notis awal kepada anda, termasuk dengan meletakkan Notis yang dikemas kini di laman web kami, dan versi terkini akan terpakai serta menggantikan semua versi terdahulu. Sila semak laman web BCC untuk versi terkini Notis ini. Dengan terus berkomunikasi dengan BCC atau terus menggunakan perkhidmatan BCC selepas pindaan, kemas kini atau perubahan dibuat terhadap Notis ini, anda dianggap menerima dan bersetuju dengan pindaan, kemas kini atau perubahan tersebut.

HUBUNGI KAMI

23. Anda boleh menghubungi kami atau mengemukakan pertanyaan, permohonan atau aduan berkaitan pemprosesan data peribadi anda kepada:


Pegawai Perlindungan Data

Beyond Compliance Consulting Sdn. Bhd.

A2-4, Wisma Nation Horizon, Jalan Petanak

93100 Kuching, Sarawak

Tel: +60(82) 238122

Email: privacy@bcomconsulting.com.my


Beyond Compliance Consulting Sdn. Bhd.

Registration No. 201601038691 (1209632-V) helps businesses navigate regulatory complexities, strengthen governance, and manage risks effectively. We provide expert guidance to ensure compliance, integrity, and long-term resilience in an evolving business landscape.



Copyright © 2026 Beyond Compliance Consulting Sdn. Bhd. Registration No. 201601038691 (1209632-V) . All Rights Reserved. 

Terms & Conditions | PDPA Notice (EN) | PDPA Notis (BM)